>

SAMAN SYARIKAT? KEPENTINGAN JENIS SYARIKAT SEBELUM MENYAMAN.

tuntut hutang syarikat, saman syarikat sendirian berhad sdn bhd enterperise

SAMAN SYARIKAT DAN KEPENTINGAN MENGETAHUI JENIS SYARIKAT SEBELUM MENGAMBIL TINDAKAN

Syarikat adalah entiti yang boleh menyaman dan di saman atas namanya sendiri. Apakah maksudnya? Apakah perbezaan menyaman atau di saman sebuah syarikat sendirian berhad dengan syarikat enterprise? Bagaimana cara untuk menyaman sebuah syarikat? Apa perkara asas yang perlu kita tahu tentang saman syarikat?

APA ITU SYARIKAT

1. Pada kebiasaanya dan di dalam bahasa mudahnya, kita boleh fahami bahawa syarikat adalah sebuah entiti yang ditubuhkan dengan tujuan lazimnya adalah untuk menjalankan perniagaan. 

2. Sesebuah syarikat boleh wujud di dalam bentuk milikan tunggal (di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan), sendirian berhad atau berhad (di bawah Akta Syarikat) ataupun perkongsian (di bawah Akta Perkongsian/Perkongsian liabiliti terhad).

MENYAMAN SYARIKAT

3. Sebagaimana yang kita sedia maklum sebuah syarikat sendirian berhad atau berhad adalah entiti yang boleh menyaman dan di saman di atas namanya sendiri. Maksudnya, anda boleh menyaman atau di saman oleh sesebuah syarikat di atas nama syarikat itu sendiri, samada ianya syarikat sendirian berhad atau syarikat berhad.

4. Berbeza pula dengan syarikat jenis milikan tunggal atau yang lebih dikenali sebagai syarikat enterprise. Syarikat jenis ini tidak boleh menyaman atau di saman atas nama syarikat itu sendiri. 

5. Ini bermaksud sekiranya anda ingin mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut hutang terhadap syarikat jenis enterprise, anda perlu mengambil tindakan ke atas pemilik syarikat tersebut dan bukan ke atas nama syarikat enterprise itu sendiri. Begitu juga sekiranya syrikat itu ingin menyaman.

contoh: En.Bambang Syah telah menubuh sebuah syarikat milikan tunggal enterprise bernama Maju Jaya Enterprise dan En.Bambang Syah ingin menyaman sebuah syarikat sendirian berhad bernama Gajah Mina Sdn Bhd kerana terdapat hutang yang gagal dibayar oleh syarikat sendirian berhad tersebut, maka pihak-pihak yang akan dinamakan pada writ saman tersebut adalah Bambang Syah (berniaga di atas nama dan gaya Maju Jaya Enterprise) dan Gajah Mina Sdn Bhd. Begitu juga sekiranya Gajah Mina ingin menyaman Maju Jaya Enterprise. Pihak yang akan di saman adalah En.Bambang Syah yang merupakan pemilik kepada syarikat enterprise tersebut.

saman syarikat sendirian berhad, enterprise di malaysia

KEPENTINGAN MENGETAHUI JENIS SYARIKAT

6. Mengapa mengetahui jenis-jenis syarikat itu penting? Ianya penting kerana Pemfailan Writ Saman tanpa meletakkan pihak-pihak yang betul dan tepat boleh menyebabkan Saman tersebut dibatalkan oleh Mahkamah.

7. Ini bermakna, sekiranya anda ingin mengambil tindakan terhadap sesebuah syarikat, adalah terlebih dahulu disarankan untuk mengenal pasti jenis syarikat yang ingin di saman bagi memastikan ketepatan pihak-pihak yang di saman.

8. Mana-mana anggota sesebuah syarikat sendirian berhad atau berhad juga tidak boleh di saman atau menyaman bagi pihak syarikat yang dianggotainya. Ini bermaksud anda tidak boleh menyaman pengarah, pengurus atau pekerja sesebuah syarikat untuk mendapatkan sesuatu hak.

9. Sekiranya anda berurusan dengan pengarah sesebuah syarikat berhad mewakili syarikat yang dianggotainya dan terdapat keperluan untuk mengambil tindakan Mahkamah, maka pihak yang perlu dinamakan di dalam writ anda adalah syarikat dan bukanlah pengarah tersebut (sekiranya syarat-syarat dipenuhi). 

LANGKAH SEBELUM SAMAN SYARIKAT

10. Jadi, apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda ingin mengambil tindakan terhadap sesebuah syarikat? Pertama, kenal pasti nama dan jenis syarikat tersebut. Kedua, kenal pasti status syarikat tersebut samada benar-benar wujud dan aktif; atau tidak aktif (dormant); atau sudah atau sedang digulungkan; atau sudah tidak beroperasi (dissolved);  Ketiga, dapatkan nasihat peguam sebelum memulakan apa-apa tindakan. 

Pembacaan lanjut: Kepentingan Status Syarikat.

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.  

legal action against companies, saman syarikat, tuntut hutang syarikat, tindakan syarikat


3 Pertanyaan & Jawapan

  1. Salam.
    Saya ada membeli sebuah rumah subsale yg masih disewakan kepada pihak syarikat utk dijadikan asrama pekerja oleh pemilik lama. Saya tidak berminat meneruskan sewaan dan skrg, saya menghadapi satu situasi yang mana pihak syarikat gagal mengosongkn premis/kediaman seperti notis yg dikeluarkan. Tiada maklum balas secara bertulis dari pihak syarikat dan perbincangan secara formal dari pihak syarikat. Dan, sehingga kini, kunci masih belum diserahkan kepada saya dan kediaman saya masih belum dikosongkan. Pengurusan pentadbiran juga lemah utk mmbantu mempercepatkan proses ini. Saya bingung mencari alternatif lain untuk mempercepatkan proses ini. Saya berniat utk membuat pemotongan elektrik dan air, adakah langkah ini cara terbaik ? boleh ke saya memfailkan saman keats syarikat tersebut ats kelewatan. Saya juga tidak menerima sebarangan byrn sewaan buat masa ini.

    BalasPadam
  2. syarikat saya enterprise ingin menyaman syarikat partner enterprise jgk kerana tidak bayar hutang bank atas nama syarikat saya. tidak ada black white. macam mana nak saman syarikat tersebut

    BalasPadam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.