>

KAJIAN KES FITNAH - KES FITNAH DOULA MASYITAH


kes fitnah doula


KAJIAN KES FITNAH : MASYITAH MD HASSAN v ABDUL LATIFF MOHAMED

1. Kes Doula Masyitah ini telah diputuskan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 April 2020 yang lepas. Bersama dengan satu kes yang lain (Kes melawan Dr. Sakinah Sulong, boleh baca DI SINI), kes yang telah menjadi perbualan hangat netizen di media sosial ini telah di putuskan melalui proses bicara penuh di mana saksi-saksi (Plaintif dan Defendan sendiri) telah hadir untuk memberikan keterangan.

2. Secara ringkas, Plaintif di dalam kes ini, yang dikenali sebagai "Doula Mas" menyediakan perkhidmatan peneman ibu bersalin ataupun "Doula". Defendan pula adalah seorang doktor pakar kardiologi dan pensyarah di sebuah universiti tempatan.

3. Plaintif telah memfailkan Saman Malu / Fitnah terhadap Defendan, berserta dengan tuntutan gantirugi di atas dakwaan bahawa Defendan telah memfitnah Plaintif melalui akaun laman sosial facebook milik Defendan.

4. Ianya berpunca daripada satu kematian bayi di Johor Bahru, Johor pada sekitar bulan Februari 2018 di mana ibu kepada bayi tersebut adalah kenalan Plaintif yang pernah mengikuti kursus yang dikendalikan oleh Plaintif.

5. Defendan telah membuat satu posting bersama dengan gambar Plaintif di Facebook dengan ayat yang berbunyi:

Murderers... Smiling at the death of mothers and babies. A failure of our healthcare system.

6. Defendan di dalam membela kes beliau, telah bergantung kepada 3 jenis pembelaan iaitu Justifikasi (Justification), Komen Berpatutan (Fair comment) dan Perlindungan Bersyarat (Qualified Privilege). (Baca DI SINI untuk memahami jenis-jenis pembelaan bagi saman malu / fitnah).

7. Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan elemen-elemen yang perlu dipenuhi bagi sesuatu Saman Malu / Fitnah dan telah memerintahkan Defendan untuk membayar gantirugi sebanyak RM50,000.00 dan RM20,000.00 sebagai kos kepada Plaintif.

8. Diantara dapatan-dapatan menarik yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam kes ini adalah seperti yang berikut:

a) Untuk menggunakan pembelaan Justifikasi (justification) di dalam sesuatu kes fitnah, kandungan dan fakta sesuatu kenyataan yang di dakwa mengandungi fitnah itu hendaklah dibuktikan sebagai benar.

(i) Mahkamah telah mengungkap keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Mohamed Hafiz v Eric Paulsen yang menyatakan seperti berikut:

Pembelaan justifikasi adalah pembelaan yang lengkap tetapi untuk berjaya dalam pembelaan justifikasi, adalah penting bagi defendan membuktikan kebenaran semua kenyataan material dalam kata-kata yang diadukan.

(ii) Pembelaan justifikasi Defendan di dalam kes ini telah gagal kerana keterangan dokumentar yang dirujukkan kepada Mahkamah telah menunjukkan bahawa laporan media dan kenyataan rasmi Polis Di Raja Malaysia telah mengesahkan menerusi hasil siasatan mereka bahawa:

(a) bayi tersebut mati disebabkan oleh sesak nafas dan bukan disebabkan oleh perkhidmatan Doula;

(b) ibu bapa kepada bayi tersebut mengesahkan bahawa mereka tidak menggunakan khidmat Doula semasa melahirkan anak tersebut

(c) ibu bapa bayi tersebut mengesahkan bahawa tiada mana-mana individu yang menghasut mereka untuk melahirkan bayi dirumah

(iii) Mahkamah berpendapat bahawa Defendan akan gagal untuk menjustifikasikan kenyataan tersebut kerana Defendan gagal mengambil sebarang tindakan untuk mengesahkan kenyataan tersebut selain Defendan sendiri tidak mempunyai sebarang pengetahuan peribadi berkenaan dengan kes kematian tersebut.

b) Untuk menggunakan pembelaan Komen yang Adil (Fair Comment) pula Defendan perlu membuktikan bahawa komen yang dibuat adalah berdasarkan fakta yang benar. 

(i) Berkenaan dengan pembelaan komen yang adil dan berpatutan, ianya adalah undang-undang yang mantap bahawa defendan berkewajipan untuk membuktikan bahawa komen-komen dan/atau kenyataan yang diterbitkan adalah berdasarkan fakta-fakta yang benar.

(ii) Mahkamah telah memetik dapatan Mahkamah Rayuan di dalam kes Dato Sri Najib Abdul Razak v Mohd Rafizi Ramli yang menyatan seperti yang berikut:

To constitute a defence of fair comment: (i) the words complained of were comments although they may consist of or include inferences of facts; (ii) the comment was a matter of public interest; (iii) the comment was based on facts; and (iv) the comment was one which a fair minded person could honestly make on the facts proved. The court is fully entitled to decide that a particular statement was a comment and not a bare or naked statement of facts when it contains a person's belief for his conclusion, which was based on or drawn from certain facts. 

(iii) Suatu Komen yang Adil adalah apabila: (i) ayat yang dipertikaikan adalah suatu komen (ii) komen tersebut dibuat atas dasar kepentingan awam; (iii) komen tersebut berasaskan fakta; dan (iv) komen tersebut boleh dibuat oleh sesiapa sahaja secara jujur berdasarkan fakta. Keempat-empat elemen ini perlu dipuaskan sebelum Mahkamah boleh menerimapakai pembelaan Komen yang Adil.

c) Pembelaan Perlindungan Bersyarat (Qualified Privilege) pula akan gagal sama sekali sekiranya ianya dapat dibuktikan bahawa kenyataan tersebut dibuat dengan prasangka jahat (malice).

(i) Mahkamah telah memetik dapatan di dalam kes S.Pakianathan v Jenni Ibrahim di mana Mahkamah telah memutuskan seperti yang berikut: 

The protection afforded by the law to a publication made on an occasion of qualified privilege is not an absolute protection but depends on the honesty of purpose of the person who makes the publication. If he is malicious, that is, if he uses the occasion for some other purpose than that for which the law gives protection, he will not be able to rely on the privilege. If the publication takes place under circumstances which create a qualified privilege, in order to succeed the Plaintiff has to prove express malice on the part of the defendant. Broadly speaking, express malice means malice in the popular sense of desire to injure the person who is defamed. To destroy the privilege, the desire to injure must be the dominant motive for the defamatory publication.

(ii) Perlindungan yang diperuntukkan melalui Perlindungan Bersyarat bukanlah suatu perlindungan yang mutlak tetapi bergantung kepada kejujuran pada tujuan seseorang yang mengeluarkan pernyataan itu. Sekiranya beliau boleh dibuktikan mempunyai prasangka jahat (malice), seseorang itu tidak boleh menggunapakai pembelaan Perlindungan Bersyarat.

9. Secara kesimpulannya, apa yang perlu diambil berat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membawa implikasi terhadap orang lain adalah kebenaran kandungan dan fakta itu sendiri. 

10. Pembelaan-pembelaan Defendan di dalam kes ini kesemuanya tidak terpakai oleh kerana kegagalan Defendan untuk membuktikan kebenaran kenyataan beliau di Mahkamah. 

11. Tambahan pula, pihak PDRM telah memberikan kenyataan bahawa melalui siasatan yang dijalankan, pihak PDRM mendapati bahawa kematian bayi tersebut tidak disebabkan oleh Plaintif. 

12. Oleh sebab ini, Mahkamah telah memutuskan bahawa kenyataan Defendan yang menyamakan Plaintif sebagai seorang pembunuh (murderer) di dalam kenyataan media sosial facebook beliau adalah suatu fitnah.

13. Defendan kini telah merujuk kes ini ke Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Kami juga menyediakan Borang Kes yang anda boleh isi untuk mengetahui secara lebih mudah dan cepat samada anda mempunyai kes fitnah atau pun tidak. Klik BORANG KES FITNAH NORHAFEEZLAW

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 

SIRI RENCANA SAMAN MALU

i) Apa itu Saman Malu?

ii) Bagaimanakah cara untuk memfailkan Saman Malu? 

iii) Apakah cara melawan Saman Malu dan apakah pembelaan yang anda ada?

iv) Apa dokumen yang perlu ada untuk mulakan saman malu?

v) Kos peguam Saman Malu?

vi) Pampasan dan gantirugi Saman Malu / Fitnah?

vii) Fitnah media sosial (facebook, twitter, instagram)

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.