>

PENJAMIN BANKRAP? ADAKAH PENJAMIN BOLEH DIBANKRAPKAN?

bankrap dan muflis

APA ITU PENJAMIN SOSIAL & HAK-HAK PENJAMIN 

Apabila anda menjadi penjamin kepada sesuatu pinjaman yang dilakukan oleh seseorang peminjam, penjamin berisiko untuk disaman sekiranya peminjam itu gagal membuat bayaran bulanan. Namun adakah seorang penjamin boleh dibankrapkan? Apa itu Penjamin Sosial? Apakah hak seorang Penjamin Sosial dan Penjamin Biasa disisi undang-undang bankrap (insolvensi)?

APA ITU PENJAMIN?

1. Bagi membolehkan seseorang mendapat pinjaman daripada bank atau mana-mana institusi kewangan, lazimnya pihak bank atau institusi kewangan akan mewajibkan pinjaman tersebut dijamin oleh seorang (atau lebih) penjamin sebelum pinjaman tersebut diluluskan dan diberikan kepada pelanggan mereka.

2. Sebelum rang undang-undang Akta Kebankrapan (kini dikenali sebagai Akta Insolvensi 1967) dipinda pada tahun 2016, terdapat lambakan kes-kes Mahkamah yang melibatkan penjamin yang disaman dan turut diheret ke Mahkamah kerana kegagalan pelanggan bank untuk melunaskan pembayaran balik pinjaman mereka.

3. Keadaan ini telah menjadi rungutan yang berpanjangan memandangkan di dalam banyak keadaan, Penjamin-Penjamin mempunyai kuasa kawalan yang sangat terhad (itupun sekiranya ada) terhadap pembayaran balik yang di lakukan oleh pelanggan-pelanggan (yang kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga atau kenalan rapat) dan kadangkala tidak tahu menahupun bahawa mereka telah disaman dan lebih teruk, dibankrapkan.

4. Setelah Akta Insolvensi di pinda pada tahun 2016, kerajaan, diantara lainnya, telah memperkenalkan pindaan-pindaan yang penting bagi melindungi hak-hak penjamin. Secara umumnya, pihak-pihak terbabit, samada pihak bank atau institusi kewangan, tidak boleh sewenang-wenangnya mengheret penjamin-penjamin ke Mahkamah melalui proses kebankrapan. 

APA ITU PENJAMIN SOSIAL?

5. Penjamin Sosial adalah penjamin yang menjamin apa-apa pinjaman yang diberikan untuk menyambung pelajaran, pembelian kenderaan persendirian ataupun pembelian rumah sebagai tempat tinggal. (s.2 Akta Insolvensi).

6. Sebelum pindaan dibuat terhadap Akta Insolvensi, Penjamin-Penjamin Sosial tidak terlepas daripada tindakan kebankrapan. Namun kini, seksyen 5 (3) (a) Akta Insolvensi telah menetapkan bahawa pemberi hutang tidak lagi dibenarkan untuk mengambil sebarang tindakan kebankrapan terhadap Penjamin Sosial.

ADAKAH PENJAMIN SOSIAL TIDAK BOLEH DISAMAN?

7. Malangnya, walaupun undang-undang Insolvensi melindungi Penjamin Sosial daripada dibankrapkan, seorang Penjamin Sosial masih boleh disaman dan di ambil tindakan di Mahkamah oleh pemberi hutang. 

8. Malah, setakat ini, masih belum ada undang-undang yang menghalang pemberi hutang untuk melaksanakan penghakiman terhadap seorang Penjamin Sosial melalui proses Perlaksanaan selain daripada tindakan kebankrapan.

9. Ini bermakna, walaupun seorang Penjamin Sosial tidak boleh dibankrapkan, pemberi hutang masih boleh "menguatkuasakan" penghakiman yang diperolehi keatas Penjamin Sosial melalui proses Sitaan dan Jualan Harta, Saman Penghutang Penghakiman ataupun Rampasan Baki Akaun Bank (Garnishee).

PENJAMIN SOSIAL YANG TELAH DIBANKRAPKAN DAN PROSES PERLEPASAN

10. Bagaimana pula dengan Penjamin-Penjamin Sosial yang telah dibankrapkan sebelum daripada pindaan terhadap Akta Kebankrapan/Insolvensi dibuat? 

11. Seksyen 33B (2A) Akta Insolvensi telah memberikan indikasi bahawa sekiranya ada Penjamin Sosial yang telah dibankrapkan sebelum Akta Kebankrapan dipinda, maka beliau boleh memohon untuk mendapatkan pelepasan daripada Ketua Pengarah Insolvensi dan permohonan tersebut tidak boleh dibantah oleh pemberi hutang. 

12. Namun begitu terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi mengikut s.33A Akta Insolvensi.

ADAKAH PENJAMIN BIASA BOLEH DIBANKRAPKAN?  

13. Penjamin Biasa adalah penjamin yang menjamin apa-apa pinjaman yang diberikan selain daripada untuk menyambung pelajaran, pembelian kenderaan persendirian ataupun pembelian rumah sebagai tempat tinggal. 

14. Penjamin Biasa lazimnya adalah penjamin yang memberi jaminan terhadap pinjaman peribadi, pinjaman berbentuk komersial ataupun pinjaman perniagaan.

15. Bagi pemberi hutang yang ingin memulakan tindakan kebankrapan terhadap Penjamin Biasa, mereka dikehendaki terlebih dahulu memastikan kesemua tindakan perlaksanaan terhadap penerima hutang telah dilakukan. 

16. Tindakan kebankrapan terhadap Penjamin Biasa hendaklah menjadi tindakan yang paling akhir; setelah tindakan perlaksanaan terhadap penerima hutang gagal untuk membayar atau melangsaikan jumlah yang terhutang (s.5 (3) (b) Akta Insolvensi).  

APA TANGGUNGJAWAB ANDA SEBELUM SETUJU MENJADI PENJAMIN?

17. Walaupun undang-undang telah dipinda untuk melindungi Penjamin-Penjamin, terutamanya Penjamin Sosial, adalah tetap menjadi tanggungjawab anda untuk teliti dan waspada sebelum anda bersetuju untuk menjadi penjamin kepada apa-apa pinjaman.

18. Secara ringkasnya, anda perlu menyelidik dan memastikan perkara-perkara berikut:

(a) siapa yang meminta anda menjadi penjamin?

(b) Sejauhmana kebolehpercayaan anda terhadap si peminjam?

(c) sejauhmana kebolehbayaran si peminjam?

(e) Pinjaman yang dibuat oleh si peminjam untuk tujuan apa?

(f) Adakah si peminjam mudah dihubungi?

19. Jangan terlalu bermudahan untuk meletakkan tanda tangan anda di atas dokumen-dokumen pinjaman. Sekiranya anda tidak yakin dengan jawapan yang anda perolehi untuk soalan-soalan di atas, maka anda tidak seharusnya memilih untuk menjadi penjamin kepada sesiapa sahaja. 

20. Adalah disarankan untuk anda membawa salinan dokumen pinjaman untuk disemak oleh peguam pilihan anda dan dapatkan pendapat peguam sebelum membuat apa-apa tindakan.

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.